Khamis, Januari 30, 2014

Pelaburan Kecil Tetapi apa hukumnya Haramker

Mana MLM alternatif??
"Kalau ustaz pandai sangat, kenapa tak tuliskan sahaja macam mana MLM yang menepati Shariah tu, biar orang boleh guna" Demikian tempelak seorang pemuda  tanpa kesabaran melalui sebuah web.
Jawapan saya seperti berikut :-
Pertama : Memang ramai 'suruh', 'arah' dan minta saya sebutkan macam mana MLM yang harus serta realistik.
Inilah masalah orang ramai, tidak berfikir mendalam sebelum meminta. Kita kena faham, tak semua yang perniagaan diasakan ikut cara yang menpeati Shariah itu menarik pada pandangan mata orang ramai dan boleh laku untuk dijual di Malaysia, dan tak semua pula plan dan skim atau produk yang sangat boleh dijual dan menarik itu menepati hukum Shariah. Jadinya bagi menghasilkan satu plan hebat yang menepati Shariah dan boleh jual, perbincangan dua pihak antara Ilmuan Shariah & bisnesman amat perlu dalam hal ini.  
Mana mungkin sebuah plan pemasaran MLM terbaik dapat dicadangkan hanya dengan mengemukakan permintaan mudah begitu sahaja kepada saya, ini kerana mungkin saya mempunyai penyelesaian dari sudut teori Shariahnya. Teori ini pula sebahagiannya bersifat fleksible dan tidak sebahagian yang lain, kerana itu perbincangan diperlukan dengan pihak pakar pemasaran demi memastikan samada ia 'viable' untuk diperkenalkan atau tidak. Kerana saya bukanlah pakar dalam bab pemasaran.
Kedua : Saya juga bukanlah seorang jutawan yang membolehkan saya memperkenalkan plan bisnes MLM contoh yang hebat dan menepati Shariah. Mudahnya, selagi tiada bisnesman Muslim yang punyai perhatian kuat tentang halal haram dan berkesudian berbincang dengan orang Shariah, selagi tu tidak akan didapati plan dan skim MLM alternatif yang menepati Shariah.
Untuk maklumat, proses inilah yang amat kerap kami (ilmuan Shariah sedunia, saya dan rakan-rakan ustaz di semua institusi kewangan Islam seluruh dunia) ; iaitu kami duduk berjam-jam dengan pakar pemasaran, peguam untuk mencipta produk kewangan Islam yang halal serta dalam masa yang sama aqad-aqadnya juga halal dan boleh diaplikasikan di sisi undang-undang Malaysia. Kesimpulan saya, jika hanya ada satu pihak sahaja yang bersungguh, ia pasti akan menjadi hasrat yang terbengkalai juga.
Rasa Pelik Orang Yang Pelik
Banyak juga email ucapan terima kasih, insaf, penghargaan yang saya terima serta soalan lanjut dan permintaan untuk mengkaji pelbagai lagi skim yang wujud. Tidak kurang juga sekitar 1 % dari ribuan email yang diterima mengandungi kata-kata cemuhan, makian, carutan dan penghinaan, bagaimanapun tiadalah yang saya baca sehingga habis. Bagi saya masa amat penting, terlalu banyak soalan dan tugas lain perlu saya selesaikan dari membuang masa membaca email tiada nilai Islam dan tiada berilmu tersebut.
Ada yang merasa pelik bagaimana saya dapat mengeluarkan sesuatu hukum hanya sekadar dalam 4 jam. Jawapan saya, sebenarnya semua jenis pelaburan itu telah saya tahu hukumnya sejurus 1-5 minit saya buka webnya, atau mendengar penerangan dari pesertanya. Bukannya kerana saya terlalu pakar, tetapi kerana elemen haramnya terlalu jelas bagi yang biasa dalam industri pelaburan dan kewangan Islam. Malah panduannya telah diputuskan oleh Majlis Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia sejak tahun 80 an lagi. Cuma mereka yang tidak biasa saja yang merasa pelik, bagi saya ia adalah tugas yang telah bertahun saya lakukan dalam dunia realiti industri kewangan Islam dan juga akademik.
Selain itu, ia juga berdasarkan anugerah pengalaman dan ilmu yang saya perolehi di industri kewangan ini. Saya sememangnya telah amat biasa menyemak dokumen bagi setiap pelaburan, produk kewangan bank dan sebagainya. Ia memang tugas rasmi saya setiap hari di sejak saya di RHB ISLAMIC Bank Berhad hinggalah ke Institusi Kewangan Antarabangsa yang saya berkhidmat sekarang ini.
Hasilnya, menyemak perkara ini tidaklah sesukar mana jika anda telah mengetahui fokus,  konsep dan displinnya, Cuma ia perlukan penelitian dan pemahaman setiap baris ayat yang didrafkan oleh peguam. Sebagaimana pakar memasak dapat mengetahui kurang rempah atau terlebih, atau menggunakan ‘ajinomoto' atau tidak sejurus mereka merasa sesuatu masakan. Ye, saya tidaklah mengatakan saya seorang pakar, cuma saya amat rapat dengan mereka yang pakar seperti Sheikh Dr. Abd Sattar Abu Ghuddah, pakar ilmu kewangan Islam sedunia. Saya juga baru sahaja bermesyuarat dengan beliau pada 26 Mac 2007 yang lalu, sempat juga saya menyemak hasil kajian saya terhadap MLM dan Pelaburan Internet dengan beliau secara ringkas. Alhamdulillah beliau bersetuju dengan hasil kajian saya tersebut hanya dengan beberapa minit mendengar penjelasan saya akan bagaimana ia berfungsi. Ini tidak hairan kerana beliau amat cekap, berilmu dan berpengalaman.
Sheikh Dr Abd Sattar adalah Pengerusi Majlis Penasihat Dallah al-Barakah Banking Group, Dow Jones Islamic Index, AAOIFI, Pakar di Kesatuan Fiqh Sedunia, Majlis Shariah Qatar Islamic Bank, Rayyan Islamic Bank dan di seluruh dunia. Tempiasan ilmu itu sudah cukup memberi manfaat yang banyak buat saya. Hasilnya, berkat dari kefahaman dan perbincangan dengan beliau, mampulah saya mengenalpasti sesuatu instrument kewangan dengan baik.  Di samping beliau, rakan-rakan dalam industri perbankan dan pelaburan yang telah biasa menguruskan pelaburan ratus-ratus juta juga boleh dirujuk apabila terdapat kekeliruan.
Walaupun saya telah mengetahui hukum semua produk pelaburan di atas sekilas saya melihatnya, saya terpaksa bersabar untuk menghebahkannya kepada awam kerana  saya amat faham, bahawa begitu ramai yang telah terlibat dengannya dan ramai juga ustaz dan ustazah yang terlibat. Justeru, sebarang pendedahan mestilah diiringi dalil yang secukupnya. Maka semua ini memerlukan masa, malangnya masa sesuai agak kurang ada dalam aktiviti seharian saya untuk menaip selalu.
Masalah saya seterusnya adalah, bagaimana saya ingin memudahkan fakta hukum ini agar boleh difahami oleh si pembaca. Ini satu cabaran kerana isu-isu kewangan sememangnya agak rumit untuk difahami oleh orang awam yang tidak terlibat dengannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan